MAGU 2021
INCLUSIVE
GLOBAL
SUSTAINABLE
Budaya memberi pengiktirafan dan meraikan staf atas kecemerlangan dan khidmat bakti di UNIMAS bermula sejak tahun 2006 melalui Majlis Penghargaan yang diadakan pada setiap tahun. Lazimnya acara tersebut hanyalah meraikan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sahaja. Walau bagaimanapun bermula tahun 2009, anugerah lain turut diwujudkan untuk mengiktiraf pencapaian dan menghargai perkhidmatan staf UNIMAS. Penganugerahan adalah terbahagi kepada tiga (3) kategori iaitu Anugerah Akademik, Anugerah Pengurusan dan Anugerah Sukan. Kesemua anugerah ini adalah berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan serta diputuskan di peringkat jawatankuasa yang berkaitan. Majlis ini kemudiannya dikenali sebagai Majlis Anugerah Gemilang UNIMAS (MAGU).

Anugerah Tokoh Akademik UNIMAS
Penerima Anugerah Tokoh Akademik UNIMAS ialah seorang ahli akademik yang terlibat secara menyeluruh dan sentiasa beriltizam dalam menyumbang kepada penemuan dan pembangunan ilmu yang memberi sumbangan bernilai untuk negara dan dunia. Sumbangan penerima membangunkan negara ke arah peningkatan kualiti kehidupan rakyat dan manusia sejagat.
Anugerah Pengajaran UNIMAS
Anugerah Pengajaran UNIMAS bertujuan memberi pengiktirafan dan sanjungan kepada pensyarah UNIMAS yang telah menunjukkan kesarjanaan dan kecemerlangan dalam pengajaran. Kesarjanaan pengajaran merujuk kepada tahap keilmuan yang tinggi yang merangkumi penjanaan dan perkongsian ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran. Kecemerlangan pengajaran merujuk kepada amalan pengajaran dan pembelajaran menggunakan pendekatan yang kreatif dan inovatif, berasaskan falsafah, teori, prinsip pengajaran yang mantap untuk meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar.
Anugerah Ahli Akademik Harapan UNIMAS
Anugerah Ahli Akademik Harapan UNIMAS bertujuan memberi pengiktirafan kepada ahli akademik muda yang berkemampuan dan berkaliber. Penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan ialah seorang ahli akademik yang beriltizam, terlibat secara menyeluruh dan menyumbang kepada penemuan dan pembangunan ilmu.
Anugerah Kumulatif Tertinggi Penerbitan Dalam Jurnal Berimpak
Anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada penyelidik yang menghasilkan kumulatif tertinggi makalah dalam jurnal berimpak, kategori Sains (termasuk perubatan, kejuruteraan dan teknologi) dan kategori Sains Sosial/Sastera bagi tahun yang dinilai.
Anugerah Inovasi Dan Pengkomersialan Produk UNIMAS
Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk merangkumi produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan di Malaysia dan telah dikomersialkan melalui syarikat/enterprise berdaftar, memberi impak dari segi penjanaan ilmu ke arah peningkatan kualiti hidup, pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi negara.
Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun) UNIMAS
Tujuan anugerah ini adalah untuk mengiktiraf dan menghargai usaha pensyarah dalam mewujudkan suasana dan persekitaran pembelajaran yang menggabungkan e-Pembelajaran (eLEAP, MOOC, Simulation, Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR), Live Classroom, Digital Gamification, dan seumpamanya) dan bersemuka yang bermakna dan memberikan impak mendalam ke atas pengalaman dan pencapaian pembelajaran pelajar.
Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka) UNIMAS
Tujuan anugerah ini adalah untuk mengiktiraf dan menghargai usaha pensyarah dalam memberi fokus kepada model/pendekatan pengalaman pembelajaran imersif secara bersemuka yang memberi impak mendalam ke atas pengalaman dan pencapaian pembelajaran pelajar seperti Service-Based Learning, Community-Based Learning, Challenge-Based Learning dan seumpamanya.
Anugerah Penerbitan UNIMAS
Anugerah ini bertujuan menghargai pencapaian cemerlang staf akademik dalam bidang penulisan dan penerbitan buku ilmiah. Anugerah ini dipertandingkan berasaskan kriteria-kriteria Anugerah Akademik Negara dan mengiktiraf buku ilmiah asli yang dihasilkan dan berpotensi dalam memberi impak kepada pembinaan ilmu serta berupaya membawa perubahan kepada minda masyarakat.
Anugerah Seni Dan Kreativiti
Anugerah ini diberikan kepada calon yang telah memenangi anugerah atau menerima pengiktirafan (sekurang-kurangnya di peringkat kebangsaan) dan menyumbang kepada pembangunan ilmu dan atau kreativiti serta memberi impak positif kepada seni budaya.
Anugerah Pengajaran Transformatif
Anugerah ini bertujuan untuk mengenalpasti, memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik dalam teknik-teknik pengajaran transformatif yang selari dengan revolusi pendidikan.
Anugerah Pentaksiran
Anugerah ini bertujuan untuk mengenalpasti, memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik dalam teknik-teknik pentaksiran alternatif yang berkesan dalam membantu pelajar.

Anugerah Kepemimpinan Pengurusan dan Profesional
Anugerah ini merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada pegawai dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan tetapi juga menjadi sumber rujukan dan teladan dalam bidang pentadbiran dan kepimpinan. Anugerah ini mengiktiraf individu yang mempunyai kemahiran dalam pengurusan, ciri kepemimpinan yang unggul, menyumbang dalam pembangunan dan kecemerlangan UNIMAS serta berinovasi dalam pelaksanaan misi dan visi organisasi.
Anugerah Kepemimpinan Pelaksana
Anugerah ini dibentuk khas untuk menghargai pegawai dari Kumpulan Pelaksana yang menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan dan peribadi serta boleh dijadikan contoh teladan kepada staf-staf lain di UNIMAS.
Anugerah Staf Harapan Pengurusan dan Profesional
Anugerah ini khas untuk menghargai pegawai dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang mempamerkan prestasi kerja cemerlang serta berpotensi dalam mengembangkan kemahiran serta mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Anugerah Staf Harapan Pelaksana
Anugerah ini bagi menghargai pegawai dari Kumpulan Pelaksana yang mempamerkan prestasi kerja cemerlang serta berpotensi dalam mengembangkan kemahiran serta mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Anugerah Penghargaan Pelaksana
Anugerah ini diwujudkan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada staf Kumpulan Pelaksana yang akan bersara dan menunjukkan kecemerlangan sepanjang berkhidmat dengan UNIMAS.

Anugerah Kecemerlangan Sukan
Anugerah ini diberikan kepada staf UNIMAS yang menyumbangkan usaha dan tenaga serta melibatkan diri secara aktif dalam bidang sukan dan berjaya mengharumkan nama universiti. Kriteria pemilihan adalah berdasarkan penglibatan staf dalam aktiviti sukan di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri, universiti dan PTj.
Anugerah Galakan Sukan
Anugerah ini diberikan sebagai penghargaan kepada staf yang melibatkan diri secara aktif dan mempunyai pencapaian yang baik serta berpotensi dalam bidang sukan.
Anugerah Kecemerlangan Sukan (Berpasukan)
Anugerah ini diberikan kepada pasukan yang telah menyumbangkan pingat dan berjaya mengharumkan nama universiti.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
Anugerah ini diberikan kepada staf-staf yang mencapai markah prestasi sekurang-kurangnya 85% bagi Laporan Nilaian Prestasi Tahunan. Pencalonan adalah daripada Panel PTj dan diluluskan oleh Jawatankuasa Sumber Manusia UNIMAS.
Anugerah Perkhidmatan Setia
Anugerah ini diwujudkan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada staf UNIMAS yang setia berkhidmat dengan UNIMAS secara berterusan selama 20 tahun.
Penghargaan Sempena Persaraan
Penghargaan ini diberikan kepada staf sempena persaraan bagi menghargai staf yang telah berkhidmat dan berbakti dengan UNIMAS.
Anugerah Inovasi ICT Pengurusan
Anugerah Inovasi ICT Pengurusan adalah bertujuan memberi pengiktirafan kepada hasil kerjasama inovasi ICT yang dipraktikkan di antara PTj dan CITDS, memupuk dan menyemarakkan budaya inovasi ICT yang kreatif dan inovatif dalam pengurusan bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan serta kepuasan pelanggan dan memperkenalkan serta menyebarkan proses kerja yang boleh dicontohi oleh PTj lain.
Anugerah Webometrics
Anugerah ini diwujudkan bertujuan untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan PTj di dalam UNIMAS untuk menghasilkan laman web terbaik, menarik dan informatif serta mengandungi maklumat terkini di samping meningkatkan kualiti penyebaran maklumat secara atas talian kepada dunia luar. Anugerah Webometrics UNIMAS dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Akademik dan Bukan Akademik. Ini dapat membuka peluang kepada semua fakulti/bahagian/unit dengan kekuatan dan kelebihan masing-masing dalam memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Anugerah RISE@UNIMAS
Pelaksanaan program Awards for RISE@UNIMAS adalah sebagai suntikan galakan dan motivasi kepada penyelidik-penyelidik muda yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi. Program Awards for RISE@UNIMAS ini diwujudkan dengan objektif untuk menyuntik motivasi dan mengiktiraf penyelidik-penyelidik muda yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi, dan untuk menyemarakkan serta mengetengahkan penyelidikan berasaskan kluster-kluster penyelidikan.