30 tahun : UNIMASku Sayang terus Unggul dan Lestari

30 tahun : UNIMASku Sayang terus Unggul dan Lestari

UNIMAS telah genap mencapai usia 30 tahun kewujudannya di Bumi Kenyalang yang bertuah ini. Orientasi UNIMAS selama 30 tahun keberadaannya bermula dari sebuah Rumah Setia, Taman Budaya, di Bandaraya Kuching sehinggalah kampus ini beroperasi sepenuhnya di Kota Samarahan pada tahun 1993, telahpun merentasi sempadan udara dan laut; menghubungkan seluruh pelusuk bandar, luar bandar sehinggalah ke pedalaman Sarawak agar semua komuniti mendapat manfaat serta pengetahuan daripada universiti ulung di rantau Borneo ini.

Keberadaan UNIMAS dalam sektor pendidikan tinggi negara sepanjang tempoh 30 tahun ini amat membanggakan dengan menyaksikan pencapaian demi pencapaian diraih dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan dan pelaksanaan khidmat komuniti. Ternyata, perjalanan selama 30 tahun ini memberikan pengalaman berharga, pahit sebagai pengajaran, manis dijadikan kenangan yang ternyata mendewasakan seluruh warganya demi memenuhi visi dan misi serta mencapai aspirasi untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang berprestij.

Lebih manis untuk disisipkan juga apabila universiti ini memberikan ‘hadiah’ kepada seluruh warganya dan komuniti khususnya apabila kita mendapat peruntukan pembinaan Hospital Pengajar UNIMAS berkapasiti 300 buah katil yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023 manakala Pusat Kesihatan Prima dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi. Penubuhan hospital pengajar ini bukan sahaja memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan, malahan mengangkat bandar Kota Samarahan sekaligus UNIMAS sebagai hab perubatan unggul, selain pusat pendidikan kesihatan yang berprestasi tinggi dan meningkatkan kualiti siswazah bidang perubatan. Ternyata penantian selama 29 tahun untuk memiliki hospital pengajar sendiri membuahkan hasil, dan mimpi indah ini menjadi realiti.

Kata orang bak ilmu padi, kian berisi kian runduk. Begitulah signifikannya universiti ini yang terus melakar kejayaan akademik dalam kalangan graduan serta pendidik, bahkan dalam masa yang sama terus setara menabur tanggungjawab kepada komuniti seluruh pelosok Sarawak dan turut melunaskan peri perananannya membantu kerajaan Negeri. Nama UNIMAS sentiasa meniti di bibir komuniti setempat yang telah merasai impak positif hasil daripada program dan projek yang dijalankan oleh universiti. Di samping itu, UNIMAS terus mengorak langkah bekerjasama dengan kerajaan Negeri untuk terus memberikan khidmat bakti baik dari segi kepakaran, idea serta dalam bidang penyelidikan. Penubuhan Hab Teknologi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS InnoTech Hub) dilihat sejajar dengan inisiatif kerajaan memajukan keupayaan penyelidikan dan pembangunan negeri ini. UNIMAS InnoTech Hub berperanan menjadi pusat penyelidik dan industri dalam meneroka potensi produk penyelidikan Sarawak ke arah pengkomersialan. Bahkan, dengan adanya pusat penyelidik industri di Kampus UNIMAS ini mendorong kepada transformasi digital dan inovasi ke arah sokongan kepada Strategi Ekonomi Digital Kerajaan Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

This image for Image Layouts addon
This image for Image Layouts addon

Sesungguhnya, kecemerlangan yang diraih oleh UNIMAS saban tahun adalah hasil kerjasama, kesungguhan dan usaha warganya yang sentiasa berganding bahu, cekap dan amanah dalam mengurus tadbir universiti, berani menempuh cabaran dan sentiasa bersedia mendepani perubahan masa depan. Menjangkau usia 30 tahun ini, UNIMAS sebagai ‘community-driven university’ terus cakna dalam membina jaringan komuniti dengan menjalankan program berteraskan keterlibatan komuniti dengan menerapkan ‘service learning’. Pelan pembangunan ke arah sebuah universiti global juga terus direncanakan dan UNIMAS sentiasa bersiap siaga mendepani pelbagai cabaran dunia pendidikan tinggi.

Semoga UNIMAS terus teguh bersama, mencipta sejarah, berdiri megah, dan terus melahirkan graduan kontemporari serta menjadi universiti awam yang sentiasa disegani di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Selamat ulang tahun ke-30 Unimasku Sayang!



Ditulis oleh Dyg Nurlisa Abg Zainal Abidin
 

Copywriter UNIMAS Corporate  

 

Image
Universiti Malaysia Sarawak,
94300, Kota Samarahan,
Sarawak, Malaysia
Email : corporate@unimas.my
Tel : +60 82 58 1000

Publish modules to the "offcanvs" position.