Lanjutan daripada Pameran Seni, turut dianjurkan sewaktu MAF, adalah sesi Bicara Seni bersama beberapa artis seni visual yang dikelolakan oleh Mohamad Zamhari Abol Hassan, selaku moderator dan juga merupakan kurator pameran. Antara agenda dalam Bicara Seni tersebut ialah perkongsian berkenaan inspirasi dan mengupas initipati tentang karya-karya yang dipamerkan. Bahkan, Bengkel Seni dan Demonstrasi Seni menjadi salah satu pengisian agenda MAF yang turut menawarkan penyertaan kepada orang awam. Sesi Bengkel dan Demonstrasi Seni ini memberi ruang kepada peminat atau penggemar seni untuk mempelajari teknik asas dalam seramik dan juga membuat lakaran landskap atau sketsa daripada penggiat seni yang terlatih serta berpengalaman.



Sepanjang MAF berlangsung, festival ini turut mengadakan Arts Market yang melibatkan beberapa pengusaha-pengusaha kraftangan melalui kerjasama Jabatan Kraftangan Sarawak. Pelbagai produk kraf telah ditampilkan dan pengusaha turut membuka tapak jualan kepada pengunjung seperti aksesori, seramik, produk hiasan rumah dan juga pakaian yang mengetengahkan elemen budaya Sarawak. Antara usahawan-usahawan kraf adalah daripada Seri Bemban Enteprise, Manita Entreprise, Ragdoll Enterprise, Helena Borneo Enterprise dan juga pengusaha kraf, Lucia Ileh. Selain itu, produk-produk rekaan kraf fesyen daripada SVDEVALLET bersama pereka fesyen, Neng Kho Razali. Persembahan Muzik juga menjadi tumpuan sepanjang MAF ini dilangsungkan dengan menampilkan variasi genre muzik, malahan turut mengetengahkan gabungan tradisional kontemporari. Antaranya, nyanyian daripada penyanyi tempatan Sarawak seperti JayC Ho, Alia Tenor dan Reening Lau. MAF juga turut menjadi pentas kepada para pelajar program Muzik, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, UNIMAS yang menampilkan The Respublished Band dan Gerhana Band.
MAF secara tidak langsung mengetengahkan bakat-bakat muda dan menjadi pentas atau landasan perhubungan antara dunia akademik dan juga industri kreatif. Bagi pelajar pula, mereka berpeluang berinteraksi dengan komuniti-komuniti dan para penggiat seni tempatan di Sarawak untuk mengaplikasikan pengetahun sebagai pembelajaran melalui pengalaman.

